Monday, January 2, 2012

RAHSIA KEKAL MUDA

Gaya hidup sihat bantu kekal sihat sampai tua 





SIAPA yang tidak terganggu memikirkan usia semakin meningkat. Selain bentuk fizikal, kudrat juga semakin terhad. Cuba fikir sejenak, mahukah kita menjadi seorang tua yang lemah, tidak berdaya, cerewet, pelupa, rabun, tidak sihat dan lebih selesa bersendirian tatkala anak cucu datang menjenguk atau menjadi warga tua yang cergas, aktif, sihat dan gembira menempuh saat persaraan.
Definisi peningkatan usia yang dikaitkan dengan nombor tidak lagi relevan. Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh dilengahkan. Pakar perubatan hari ini tidak lagi mentakrifkan tua berdasarkan umur biologi (angka), sebaliknya lebih melihat kepada tahap kesihatan seseorang.
Mengikut kajian, bilangan warga tua di Malaysia meningkat hampir 1.4 juta pada 2000 dan dijangkakan mencecah 3.4 juta menjelang 2020. Walaupun ini menunjukkan negara akan kebanjiran warga tua berbanding warga muda, ia bukan bermakna warga tua tidak mampu untuk menjadi lebih produktif. 

Ramai tidak sedar banyak yang boleh dilakukan individu untuk kekal aktif dan sihat dalam meniti usia tua. Risiko dan beban penyakit kronik meningkat dengan pertambahan warga tua. Begitupun ia boleh dicegah sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat, saringan kesihatan tahunan pada peringkat awal bagi mengesan penyakit dan melengahkan merebaknya penyakit dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan makanan seimbang. 

Perunding Perubatan Dalaman dan Geriatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Rajbans Singh, berkata dalam meniti usia tua, risiko mendapat penyakit kronik seperti kardiovaskular, diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan Alzheimer adalah tinggi selain penyakit berkaitan kesihatan mental, kanser dan pelbagai lagi. 

“Mengesan awal, langkah pencegahan dan pengurusan penyakit lazim seperti darah tinggi dan diabetes mampu mengekalkan tahap kesihatan dan hidup berdikari. Menggalakkan warga tua aktif mental dan fizikal penting buat populasi yang semakin meningkat usia ini dengan mengamalkan pemakanan seimbang kerana ia mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok, diabetes jenis 2, masalah tulang, beberapa jenis barah dan anemia. 
“Ramai warga tua berubah menjadi sangat memilih makanan, ada juga yang enggan mendengar nasihat doktor untuk mengamalkan pemakanan seimbang dan penuh nutrisi bagi memastikan terus sihat, cergas dan aktif,” katanya selepas perasmian Program Kesejahteraan Warga Tua di PPPC, baru-baru ini. 

Masalah kesihatan paling lazim diterima ialah arthritis dan sakit sendi, sakit belakang, osteoporosis, masalah pendengaran, hilang penglihatan, hilang ingatan, tekanan, hilang stamina dan hilang selera. 

Kebanyakan masalah ini boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Masalah berkaitan sakit sendi dan arthritis pula boleh dialihkan atau dilengahkan daripada merebak dengan ubat-ubatan. 

Dr Rajbans turut mendedahkan, kini kajian saintifik menyeluruh dijalankan terhadap sel stem bagi menangguh atau melambatkan proses penuaan sel manusia secara semula jadi supaya mereka kekal kelihatan muda walaupun sudah berusia. 

Kajian menunjukkan, menjelang 2050 warga tua atau populasi kelabu ini dijangka mencecah dua bilion dan 80 peratus daripada jumlah itu tinggal di negara membangun. Ini membuktikan paras lanjut usia penduduk juga semakin panjang dengan 80 peratus kematian berlaku ketika usia mencecah lebih 60 tahun. 

“Sekiranya warga tua mampu mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan diri, mereka juga mampu memainkan peranan yang cukup efektif dalam membangunkan bangsa dan negara dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, skil dan kebijaksanaan,” katanya. 





INFO: Petua kekal muda 



  • Lakukan senaman ringan setiap hari bergantung pada tahap kesihatan, untuk kekal cergas dengan memastikan fizikal dan mental sihat dan mandiri. Individu yang tidak aktif lebih mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang aktif 




  • Elakkan terjatuh kerana ia boleh menyebabkan kecederaan, retak dan maut. Keretakan akibat terjatuh biasanya menjejaskan bahagian punggung, pelvik, tulang belakang dan lengan 




  • Makan makanan rendah lemak, diet tinggi serat dan pastikan pemakanan seimbang seperti buah, sayur, bijirin dan kekacang 




  • Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang senaman, diet atau makanan tambahan 




  • Minum banyak air, berhenti merokok dan elak atau kurangkan alkohol 




  • Kekalkan harga diri - bawa diri anda dengan penuh keyakinan dengan gaya berpakaian menarik, gaya rambut, menjaga penampilan wajah dengan melakukan penjagaan dan rawatan muka 
  • BAU BADAN

    Lebih memalukan jika rembesan peluh mengganggu orang lain 





    MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punya bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh.




    Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine.
    Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit. 

    Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap. 

    Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine. 

    Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine. 
    Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. 

    Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik. 

    Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang punya masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme. 

    Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita. 

    Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif. 

    Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau. 

    Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri. 

    Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi seperti yoga. 

    Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botox. 





    Info: Cara mengawal bau badan 


  • Kerap mandi 




  • Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar 




  • Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang) 




  • Berhenti merokok. 
  • PEMBEDAHAN KURUS

    Pembedahan bariatrik untuk atasi masalah obesiti





    OBESITI adalah masalah kesihatan yang sekian lama dicelaru dan dikelirukan dengan masalah dan kepentingan kosmetik. Kegemukan, berat badan berlebihan, obesiti mahupun gemuk melampau menjurus pada masalah yang sama pada dasarnya, namun hakikatnya setiap satu istilah itu membawa maksud dan implikasi berbeza.
    Perbezaan istilah ini diperjelaskan menerusi kiraan unit kadar khusus untuk mengklasifikasikan berat tubuh seseorang itu jatuh dalam kategori tertentu. Di seluruh dunia, berat tubuh seseorang dikira menggunakan ukuran Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI).
    BMI adalah cara kiraan paling mudah di mana berat badan dalam kilogram dibahagi kepada tinggi individu dalam unit meter kuasa dua. Ini dilakukan bertujuan mendapatkan berat badan mengikut kesesuaian ketinggiannya. 

    Misalnya jika seseorang dengan berat badan 150 kilogram tetapi fizikalnya tinggi, jisim itu bersesuaian dengan tubuh, sebaliknya jika individu itu 80 kilogram dan rendah, berat itu akan menimbulkan masalah kesihatan buatnya. 





    Bagi orang Asia, kategori unit berbeza dengan kategori yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memiliki rangka tubuh lebih kecil berbanding orang barat.

    Perunding Pembedahan Am, Bariatrik dan Pembedahan Kurang Invasif, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Jasmi Ali Yaakub, menjelaskan setiap kali berhadapan dengan pesakit yang bimbang mengenai kegemukan, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengukur kadar BMI pesakit berkenaan. 
    “Sebagai orang Asia, kata sepakat yang dicapai hasil rundingan anggota persatuan obesiti sekitar Asia pada 2004 membuahkan natijah terbaik apabila berjaya menetapkan kadar BMI khusus untuk orang Asia,” katanya.

    Kadar itu menetapkan individu yang kiraan BMI antara 18 hingga 25 adalah normal, 25 hingga 27.5 (berat badan berlebihan), 27.5 hingga 32.5 (gemuk), 32.5 hingga 37.5 (obesiti kelas 1), 37.5 ke atas (morbid obesiti atau gemuk melampau) dan 50 ke atas dikategorikan sebagai ‘super obes’.

    Sekiranya BMI lebih 32.5, maka individu itu berada pada kategori obes, sebaliknya jika kurang, mereka hanya dianggap terlebih berat badan. Jadi bila ada unit sedemikian, lebih mudah untuk mengklasifikasi dan menjuruskan kaedah rawatan mengikut BMI pesakit.

    Bila seseorang itu jatuh dalam kategori obesiti dan dibiarkan tanpa rawatan, ia akan mengundang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, masalah jantung, masalah tulang khususnya tulang belakang dan tulang lutut serta masalah sistem pernafasan yang menyebabkan sesak nafas dan susah tidur.

    Individu yang terlalu berat atau ‘morbid obes’ juga berhadapan dengan kadar mati cepat atau kematian pramatang yang tinggi. Ini menunjukkan mereka yang gemuk melampau akan mudah mendapat penyakit kronik pada usia muda dan perlu pertolongan kerana ini bukan lagi masalah kosmetik, sebaliknya menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa.

    Menurut Dr Jasmi, obesiti perlu dirawat kerana banyak penyelidikan mendapati obesiti yang dirawat mampu menurunkan berat badan yang tinggi pada kadar 85 hingga 90 peratus. Penyakit kronik dihidapi mungkin sembuh 100 peratus atau dapat dikawal khususnya kencing manis ‘mellitus’ (jenis 2) dan darah tinggi disebabkan obesiti.

    Bagi pakar perubatan, rawatan obesiti perlu kerana ia akan membawa faedah yang baik kepada pesakit dalam jangka panjang. Faedah sampingan yang dinikmati apabila pesakit semakin kurus ialah berasa semakin sihat dan secara kosmetiknya kelihatan menarik.

    “Di seluruh dunia, apabila seseorang individu diklasifikasi sebagai ‘morbid obes’ (BMI 32.5), kami syorkan mereka menjalani pembedahan ‘bariatrik’ (pembedahan penurunan berat badan) menerusi kaedah laparoskopi. Tujuan pertamanya untuk menurunkan berat badan dan kedua, mengekalkan penurunan berat badan untuk jangka lama,” katanya.

    Bagaimanapun kaedah pembedahan yang dipilih bergantung pada pesakit. Banyak faktor yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh panel doktor dan juga pesakit seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.

    Pesakit perlu faham menjalani pembedahan ‘bariatrik’ bermaksud sanggup untuk komited terhadap kesannya seumur hidup. Ia mengambil masa enam hingga setahun dan tahap paling penting ialah tiga hingga enam bulan pertama di mana penurunan berat badan akan berlaku secara mendadak.

    Pemantauan berat badan mengikut kadar yang dikehendaki amat penting oleh pakar yang akan mengira dan memantau sasaran penurunan berat badan dengan ketinggian dalam sebulan. Pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, punya potensi untuk sembuh dengan kadar segera.

    Apapun, masyarakat menerusi media massa perlu disedarkan mengenai pentingnya mengawal berat badan demi kelangsungan hidup selain kewujudan kaedah rawatan yang khusus bagi masalah obesiti.

    Selain persepsi dan kekaburan sedia wujud dalam kalangan masyarakat sekian lama, polisi insurans yang tidak melindungi pembedahan ‘bariatrik’ juga perlu dipinda kerana ia bukan kaedah digunakan untuk tujuan kosmetik, sebaliknya rawatan kesihatan yang mampu menyembuh dan mengawal pelbagai penyakit kronik sebutkan awal tadi. 

    “Segalanya bermula dengan pencegahan. Masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai obesiti termasuk bagaimana melakukan kiraan BMI sendiri, selain mengamalkan gaya hidup sihat. Jangan membazir wang ke pusat penjagaan kecantikan kerana obesiti bukan masalah kosmetik sebaliknya mengancam kesihatan. 

    “Berjumpalah pakar kesihatan bertauliah untuk berbincang mengenai keadaan kesihatan semasa anda.”

    Info
    Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan ‘bariatrik’





  • Menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif.







  • Memberikan kadar penyembuhan yang cepat dan selamat.







  • Secara keseluruhan, ada tiga kaedah pembedahan ‘bariatrik’. 







  • Kaedah bariatrik pertama - ‘Laparoskopi Gastric Bending’.







  • Kaedah bariatrik kedua - ‘Sleeve Gastractomy’.







  • Kaedah bariatrik ketiga - Laparoskopi Pintasan Usus atau pintasan perut







  • KESAN SELEPAS PEMBEDAHAN


  • Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan. 







  • Kalau makan banyak, akan muntah.







  • Murung atau sedih sebab tidak boleh makan banyak.







  • Letih







  • Mula seronok bila berat badan semakin menyusut.







  • Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur.







  • Dalam tempoh 4-5 minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal. 
  • DENGKUR ATAU BERDENGKUR

    Jangan anggap berdengkur masalah lazim, dapatkan nasihat pakar perubatan 





    BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.
    Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.
    Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu. 

    Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik. 

    Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur. 

    “Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya. 
    Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit. 

    Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. 





    Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri. 



    Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit. 

    Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan. 

    Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan. 

    Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan. 

    Info 
    Langkah pencegahan dengkur
     



  • Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan. 




  • Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur. 




  • Memilih posisi tidur secara mengiring. 




  • Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari. 




  • Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit. 
  • GIGI BERKARAT

    Ketahui punca gigi jadi kuning dan langkah pencegahan

    SECARA amnya gigi adalah komponen penting dalam mempersembahkan senyuman yang sempurna. Senyuman sempurna pula menampilkan paras rupa yang mampu meninggalkan pandangan pertama sukar dilupakan. Pendek kata mempunyai gigi yang putih berseri, tersusun dan cantik adalah aset paling berkesan untuk dikenang orang.
    Kesedaran terhadap gigi kuning banyak terletak pada kesedaran individu sama ada peduli atau tidak berkeadaan demikian. Individu yang mengambil berat soal paras rupa dan kebersihan diri akan memandang kebersihan gigi terutama warnanya sebagai gambaran pertama penjagaan kesihatan dan kebersihan diri keseluruhannya.
    Pakar pergigian, Dr Halina Haron dari Klinik Pergigian Halina menjelaskan masalah gigi kuning boleh dibahagi kepada dua; Intrinsik iaitu kuning pada lapisan dalaman yang lebih sukar untuk dirawat dan Ekstrinsik iaitu kuning pada bahagian permukaan enamel yang lebih mudah untuk dibersihkan.

    Ada banyak faktor menyebabkan gigi kuning, paling lazim disebabkan makanan dan minuman. Makanan yang mempunyai pewarna yang tinggi seperti kunyit serbuk untuk menggoreng ikan mahupun buah dari keluarga beri atau kopi dan teh boleh meninggalkan kesan pada gigi sehingga berubah kuning dan berkarat.

    Aktiviti merokok mengakibatkan kesan nikotin yang kuat menyebabkan gigi semakin lama berubah kuning, plak pula selaput terbentuk pada permukaan gigi akibat sisa yang kaku dalam jangka panjang. Ubat-ubatan jenis antibiotik yang diambil ibu mengandung seperti ‘tetracycline’ bukan saja menjejaskan gigi ibu tetapi gigi bayi yang sedang membesar, malah kanak-kanak di bawah usia lapan tahun.

    Selain itu, pencuci mulut mengandungi ‘chlorhexidine’ boleh menyebabkan gigi kuning dengan cepat, kesan trauma akibat hentakan hingga mengganggu saraf menyebabkan gigi mati dan bertukar warna kerana tiada nutrien. Malah penggunaan florida - kandungan dalam ubat gigi dan ubat kumur - secara berlebihan boleh menyebabkan fluorosis. 
    Fluorisis berlaku apabila kalsium disedut keluar menyebabkan gigi menjadi bertompok-tompok putih dan tidak sekata. Penuaan juga akan menyebabkan gigi kuning akibat permukaan gigi semakin haus selain rawatan akar yang menyebabkan gigi mati kerana tiada nutrien.

    Bagi mereka yang menghadapi masalah ini, rawatan bersesuaian mampu menyelamatkan gigi sebelum keadaan bertambah serius. Pesakit disaran mendapatkan rawatan segera di klinik kerana ia paling berkesan. Doktor gigi akan menggunakan pelbagai kaedah memutihkan gigi termasuk mesin pemutih gigi yang canggih, ceper dan juga berus berbentuk pen. 

    Ubat gigi, ubat kumur dan gula getah dengan elemen pemutih yang dijual di farmasi juga boleh dijadikan alternatif walaupun kesannya kurang efektif.

    “Oleh kerana ubat-ubatan itu menggunakan bahan asas hidrogen peroksida, sebagai pengguna anda perlu bijak membuat kajian dan bertanya mengenai rawatan memutihkan gigi kerana bahan berkenaan sangat berasid. Jika digunakan terlalu lama ia boleh menyebabkan gigi menjadi ngilu. 

    “Lebih selamat sekiranya memilih bahan paling rendah kepekatan ejen peluntur tetapi yang boleh memberi kesan efektif,” kata Dr Halina.

    Pemeriksaan dan rawatan pergigian rutin diikuti penjagaan susulan selain mengurangkan tabiat buruk seperti merokok, pengambilan teh dan kopi serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti berkumur-kumur selepas makan mampu mencegah gigi menjadi kuning.

    Info: Punca gigi kuning

  • Amalan pemakanan

  • Plak

  • Pengambilan ubat-ubatan

  • Cecair pencuci mulut

  • Trauma

  • Florida

  • Penuaan

  • Rawatan akar

  • Merokok
  • KANSER PAYUDARA

    JANGAN MENYERAH KALAH 


    Pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit barah payudara kawal penyakit 

    BULAN 'merah jambu' khusus untuk barah payudara baru saja berlalu, namun usaha menerapkan kesedaran mengenai bahaya penyakit nombor satu paling kerap meragut nyawa wanita di dunia itu tetap bergerak terus.
    Pada asasnya, tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya barah payudara secara amnya mencapai sasaran, begitupun sangat sedikit fokus yang diberikan terhadap barah payudara peringkat parah atau lebih dikenali sebagai metastatik.
    Barah payudara yang parah atau metastatik adalah peringkat di mana sel-sel barah terpisah dari ketumbuhan utama payudara dan merebak ke bahagian lain badan melalui saluran darah atau sistem limpatik. 

    Berbanding dengan negara barat di mana lebih kurang enam peratus dari barah payudara adalah pada peringkat metastatik selepas pemeriksaan, sebaliknya wanita Malaysia disahkan mengenai barah payudara pada peringkat yang amat lambat. 

    Bertahun-tahun lamanya, hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan antara 30 hingga 40 peratus barah payudara di peringkat yang parah. Ada beberapa jenis dan yang paling lazim berlaku ialah Karsinoma duktus. Ini adalah barah payudara yang paling kerap berlaku dan bermula dalam tisu pengalas duktus. 

    Karsinoma lobul pula adalah barah yang timbul dari lobul manakala barah payudara metastatik adalah barah payudara yang merebak di luar payudara. Sel-sel barah ini sering ditemui dalam nodus limfa di bawah lengan (nodus limfa aksil.) Apabila barah sampai ke nodus ini, bermakna sel-sel barah sudah merebak ke bahagian badan yang lain seperti, tulang, hati atau paru-paru. 
    Mengikut kajian, jangka hayat seorang wanita yang menghidap barah payudara peringkat parah adalah lebih kurang dua hingga empat tahun saja. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai pilihan rawatan untuk penyakit pada peringkat metastatik, 21 peratus daripada jumlah pesakit mampu mencecah jangka hayat sehingga lima tahun. Di dunia, barah payudara adalah barah yang paling kerap dikalangan wanita yang menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun dan adalah penyebab utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah. 

    Di Malaysia barah payudara adalah barah yang paling lazim pada keseluruhannya dan yang paling biasa di kalangan wanita tanpa mengira batas kaum dari usia 20 tahun mengikut kajian pada 2003 hingga 2005. 

    Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA), Ranjit Kaur menjelaskan kebanyakan pesakit yang disahkan menghidap barah payudara peringkat parah atau metastatik akan terus menyerah kalah. 

    “Keadaan ini sangat lazim kerana kebanyakan wanita yang ditimpa penyakit ini sedang berada di puncak kerjaya, sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga suami. Ia seolah hukuman mati buat mereka. Bayangkan saja kesan dan bebanan emosi yang perlu ditanggung. Hakikat yang perlu mereka telan tidak terbayang dan tertanggung oleh sesiapapun. Apa yang terlihat hanyalah hari-hari kelam yang menuju kegelapan, akhirnya lebih rela membiarkan diri dimamah kesakitan fizikal yang amat sangat. 

    “Benar barah payudara peringkat parah atau metastatik tidak boleh dipulihkan, begitupun pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit menguruskan dan mengawal penyakit itu dan ini memberikan mereka peluang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti dan sekali gus memanjangkan jangka hayat,” katanya ketika pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel anjuran BCWA bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) di J Co Donuts & Coffee Sunway Pyramid, baru-baru ini. 

    Lihat saja anggota BCWA yang datang dari pelbagai latar belakang agama, budaya, sosial dan peringkat usia. Barah payudara boleh dihidapi oleh sesiapa saja tidak kira lelaki mahupun wanita. Biar sejuta kempen kesedaran pun jika kekuatan dan mandiri itu tidak datang dari diri anda sendiri, segala usaha akan sia-sia. Lakukanlah pemeriksaan awal dan rutin, belajar cara pemeriksaan sendiri di rumah, sekurang-kurangnya anda masih punya peluang untuk menguruskan dan mengawalnya dengan baik. 

    “Teruskanlah kehidupan demi masyarakat, teruskan hidup demi keluarga dan teruskan hidup demi anda. 

    Golongan berisiko mendapat barah payu dara 

  • Risiko wanita adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki. 

  • Sejarah keluarga 

  • Sejarah barah - wanita yang pernah menghidap barah payu dara punya risiko berulang empat kali ganda. 

  • Sejarah haid dan pembiakan - Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun. 

  • Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan 

  • Pengambilan hormon - wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan. 
  • BARAH PAYUDARA

    SESAL KEMUDIAN TIADA BERGUNA

    SARAH Chee, 63, disahkan mengalami barah payudara 13 tahun lalu ketika gaya hidupnya begitu aktif, sangat sihat lagi cergas, berjoging tiga kilometer setiap hari adalah rutin. 

    “Pada 1997, doktor mengesahkan ada ketulan pada payudara saya dan mahu saya melakukan mamogram, tetapi selepas itu doktor memberitahu ia bukan barah... saya sangat lega. Disebabkan kejahilan dan sentiasa menafikan punya masalah kesihatan, ketulan yang ada tidak diendahkan sehinggalah 10 bulan berlalu.
    “Pelik rasanya sebab kalau betul ia tidak bersifat barah, mengapa ketulan itu makin membesar. Akhirnya saya jadi mangsa sikap jahil dan tak ambil tahu apabila doktor mengesahkan ia barah payudara peringkat bahaya. Saat itu saya berasa alangkah baiknya jika bumi ini terbelah dan terus menelan tubuh ini hidup-hidup,” kata suri rumah berkenaan.
    Sarah berkata, pelbagai persoalan berlegar dalam kepalanya, namun semua sudah terlambat dan kekesalan menebal memikirkan bagaimana dia langsung tidak mempedulikan ketulan yang ada selama 10 bulan, apatah lagi membuat kajian dan membaca mengenai barah payudara. 

    “Air mata sudah tak bermakna lagi, kini saya perlu menerima kenyataan untuk terus hidup dan payudara saya perlu dibuang,” katanya dalam nada kesal. 
    Bermula saat itu, seluruh keluarga dan anak-anaknya mula mengkaji, mendalami dan memahami karakter barah payudara termasuk menerusi internet dan buku. Dia sendiri mula meyakinkan diri untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna. 

    “Saya perlu lakukan sesuatu untuk diri dan masyarakat. Jika berlaku pada orang lain pun sekurang-kurangnya ia mampu dikesan awal, dikawal dan dirawat segera. Keghairahan menyertai Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA) dan berkhidmat kepada masyarakat timbul atas kesedaran itu dan hakikat tak mahu nasib sama menimpa insan lain,” tambahnya. 
    Apa yang menimpa Sarah adalah antara kes klasik pesakit barah payudara peringkat parah atau metastatik yang dibelenggu penafian dan kejahilan. Dia disahkan mengalami barah payudara ketika tahap kesedaran dan kempen mengenai penyakit itu kurang diambil peduli masyarakat. 

    “Ketika itu, bukannya tiada sebarang kempen mahupun iklan di dada akhbar, majalah atau TV dan radio, tetapi setiap kali terpandang mahupun terdengar, saya tak peduli dan menutup mata. Dalam hati, mana mungkin ia akan terjadi kepada diri dan keluarga yang mengamalkan hidup sihat lagi cergas,” katanya lagi. 

    Kini Sarah aktif memberi ceramah secara sukarela selain sesi kaunseling di sekolah dan hospital, bertemu pelajar dan pesakit barah payudara peringkat awal untuk meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku bukan hukuman mati, sebaliknya rawatan serta pengurusan penyakit yang baik mampu memanjangkan jangka hayat mereka. 

    “Pencegahan adalah cara terbaik, lakukanlah pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan sebarkan maklumat mengenai penyakit ini kepada lima insan terdekat yang anda sayangi,” jelasnya yang turut berkongsi nasihat berguna diberikan pakar perubatan yang menegaskan setiap ketulan pada payudara perlu dianggap sebagai mencurigakan.